PENGAPLIKASIAN HADITH DALAM PENTAFSIRAN AYAT FIQH IBADAT TAFSIR AL-AZHAR

Authors

  • Muhammad Yusry Affandy bin Md Isa
  • Ribhan binti Ibrahim

Abstract

Hamka (w.1981M) selaku ulama tafsir terkenal Nusantara telah mengaplikasikan hadith dalam pentafsiran ayat fiqh ibadat yang terkandung dalam Tafsir al-Azhar. Pengaplikasian hadith menjadi sebahagian metodologi pentafsiran Hamka untuk memastikan pentafsiran dan huraian berdasarkan pendalilan yang teguh sebagaimana yang dikehendaki dalam disiplin pentafsiran al-Quran. Dalam pada itu, terdapat pelbagai hadith telah dimasukkan yang memerlukan penelitian status hadith dan kesesuaian sebagai bahan penghujahan dalil fiqh ibadat. Kajian kualitatif ini berobjektif untuk mengetengahkan sumbangan Hamka dalam penekanan hadith dan seterusnya menganalisis pengaplikasian hadith terpilih dalam Tafsir al-Azhar. Kajian ini penting dalam mengenalpasti kaedah pengaplikasian hadith dan status hadith yang terkandung dalam pentafsiran ayat fiqh ibadat. Kaedah kajian ini mengaplikasikan kaedah deduktif bagi mendapatkan fakta keilmuan Hamka dan mengenalpasti nas hadith. Kaedah deskriptif pula dijalankan bagi menghuraikan fakta-fakta tersebut berpandukan sumber rujukan tambahan dan menatijahkan rumusan keabsahan hadith. Dapatan kajian terpenting ialah terdapat 242 buah hadith sebagai sumber pendalilan. Berdasarkan hadith tersebut, Hamka telah mengetengahkan 82 teks hadith beserta terjemahan dan sumber riwayat, 11 hadith dalam bentuk sebahagian teks hadith, 62 terjemahan hadith beserta sumber riwayat, 36 terjemahan hadith tanpa sumber riwayat dan 51 mafhum hadith bersertakan riwayat. Hadith yang dikemukakan melibatkan 89% hadith tanpa status, 9% hadith sahih, 0.82% hadith hasan dan 0.82% hadith dha’if. Rumusannya, Hamka banyak mengaplikasikan hadith dalam bentuk hadith beserta terjemahan dan sumber riwayat. Meskipun begitu, kebanyakan hadith yang dikemukakan tidak dikemukakan bersama status hadith. Pentafsiran tidak memuatkan terlalu banyak hadith sehingga menjadi kitab tafsir perbahasan hadith dan mazhab fiqh. Ini disebabkan Tafsir al-Azhar lebih berorentasikan sebagai tafsir al-ra’yi.

Downloads

Published

12/09/2024

How to Cite

Muhammad Yusry Affandy bin Md Isa, & Ribhan binti Ibrahim. (2024). PENGAPLIKASIAN HADITH DALAM PENTAFSIRAN AYAT FIQH IBADAT TAFSIR AL-AZHAR. International Prophetic Conference (SWAN) FPQS USIM, (9th), 53–64. Retrieved from https://swanfpqs.usim.edu.my/index.php/conference/article/view/198

Issue

Section

Articles