ANALISIS HADIS DALAM KITAB “KESELAMATAN KAUM IBU KEPADA JALAN YANG DITUJU” (1968) TULISAN AISHAH BINTI MUHAMMAD SALEH
Abstract
Aishah binti Haji Muhammad Saleh merupakan cucu kepada Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani yang lebih dikenali dengan gelaran Tok Kenali. Beliau adalah seorang ulama terkenal berasal dari negeri Kelantan dan dianggap sebagai pemikir ulung Melayu pada awal abad ke-20. Melalui hasil didikan yang diperolehi daripada bapanya, Aishah menyambung tradisi keilmuan dengan mengajar dan juga menghasilkan beberapa karya penulisan. Antara kitab beliau adalah Keselamatan Kaum Ibu kepada Jalan yang Dituju yang selesai ditulis pada 25 Disember 1968 seperti yang tercatat pada halaman kulit buku. Kitab ini mengandungi teks agama yang bersandarkan kepada sumber al-Quran dan hadis, serta bertemakan wanita. Oleh itu, kajian ini memfokuskan untuk meneliti dan menganalisis sejumlah hadis sahaja berdasarkan kaedah takhrīj hadis. Metodologi kajian yang digunakan sebahagian besarnya adalah kualitatif dengan mengaplikasikan pendekatan tekstual dan analisis kandungan. Hasil kajian menunjukkan terdapat status hadis yang berbeza mengenai wanita dalam kitab ini. Namun, ia tidak menunjukkan bahawa penulis tidak mempunyai kesedaran berhubung perkara ini. Sumbangan beliau dalam penulisan dan tradisi ilmu adalah penting untuk dihargai dan menjadi rujukan serta inspirasi bagi generasi kini.