KETOKOHAN AL-MARBAWI DALAM PENULISAN KARYA SYARAHAN HADITH
Abstract
Karya syarah hadith merupakan karya yang membantu bagi mencapai kefahaman yang tepat dan pengetahuan yang luas berkaitan hadith. Al-Marbawi merupakan tokoh muḥaddithīn terulung di Alam Melayu yang menghasilkan karya syarah hadith. Dalam penulisan karya syarah hadith, pematuhan terhadap kerangka syarah hadith adalah sangat penting bagi menghasilkan karya hadith yang berkualiti dan bermanfaat kepada masyarakat. Artikel ini bertujuan mengkaji ketokohan al-Marbawi dalam penulisan karya syarah hadith dari sudut piawaian kerangka penulisan syarah hadith. Bagi mencapai objektif tersebut, kaedah kepustakaan berdasarkan kajian kualitatif melalui reka bentuk analisis kandungan digunakan dalam proses pengumpulan dan penganalisisan data. Skop kajian ini terhad kepada tiga karya syarah hadith yang dihasilkan oleh al-Marbawi iaitu Baḥr al-Mādhī li Sharḥ al-Mukhtaṣar Ṣaḥīḥ al-Tirmidhī, Idangan Guru Ṣaḥīḥ al-Bukhārī wa Muslim dan Bulūgh al-Marām Serta Terjemahan Melayu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa al-Marbawi mensyarahkan hadith dengan mengikuti kerangkan syarahan hadith iaitu dengan mengemukakan takhrīj al-ḥadīth dalam syarah hadith, mengemukakan syarahan terhadap lafaz-lafaz ganjil berdasarkan ilmu gharīb al-ḥadīth, mengemukakan kefahaman makna hadith secara ringkas, memastikan zahir hadith selari dengan kehendak Nabi Muhammad SAW dan menghimpunkan dalil-dalil berkaitan berdasarkan topik hadith. Dengan itu, hasil dapatan kajian ini menunjukkan ketokohan al-Marbawi dalam penulisan karya syarah hadith yang memenuhi aspek kerangka syarahan hadith.