DISKUSI FIQH DALAM KARYA AL-TIBB AL-NABAWI KARANGAN IBN QAYYIM AL-JAUZIYYAH: SUATU TINJAUAN
Abstract
Al-tibb al-nabawi merujuk kepada himpunan hadis yang disandarkan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم serta mempunyai perkaitan dengan perubatan dan isu kesihatan. Para ilmuwan yang menghasilkan karya genre al-tibb al-nabawi ini kebiasaannya mempamerkan pelbagai bentuk stail penulisan yang berbeza-beza. Dalam sebahagian karya, para ilmuwan hanya menghimpunkan hadis-hadis ini secara ringkas atau menyeluruh. Terdapat juga sebahagian yang menyertakan komentar perubatan klasik atau moden bersama hadis yang dihimpunkan. Ibn Qayyim al-Jauziyyah merupakan salah seorang tokoh yang turut menghasilkan karya himpunan hadis berkaitan genre ini. Uniknya, beliau dilihat memasukkan elemen perbincangan fiqh ketika berinteraksi dengan hadis-hadis al-tibb al-nabawi. Hal ini amat jarang ditemui dalam karya al-tibb al-nabawi yang lain. Artikel ini ditulis dengan tujuan memaparkan kesarjanaan Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam mengekstrak isu-isu fiqh melalui hadis-hadis al-tibb al-nabawi yang telah beliau himpunkan. Kajian dilaksanakan menerusi kajian kualitatif yang menggunakan analisis dokumen dan observasi sebagai metode pengumpulan data. Hasil kajian mendapati bahawa Ibn Qayyim alJauziyyah mengetengahkan perbincangan fiqh yang ringkas dalam karya Al-Tibb Al-Nabawi tanpa membawa diskusi fiqh yang terlalu kompleks. Meskipun begitu, beliau masih membentangkan perbezaan pandangan para ilmuwan dalam isu fiqh tertentu dan memilih pandangan yang tepat (tarjih) menurut hemat beliau.