LAMBAKAN PERMOHONAN MENGGUNAKAN WALI HAKIM DALAM URUSAN PERKAHWINAN DAN CABARANNYA KEPADA MAHKAMAH RENDAH SYARIAH KUALA KANGSAR (MRSKK)

Authors

  • Farzana, B
  • Mustaqim Roslan, M.

Abstract

Wali hakim bertanggungjawab menjadi wakil kepada wali nasab yang aqrab mahupun ab’ad, sekiranya berlaku masalah pada wali nasab serta ketidakpatuhan dalam memenuhi syarat-syarat kelayakan menjadi wali. Permohonan perlulah dilakukan di Mahkamah Syariah sebelum tugas perwalian dalam sesuatu perkahwinan berpindah kepada wali hakim secara mutlak. Namun begitu, permohonan wali hakim di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Kangsar (MRSKK) nampaknya semakin bertambah sejak akhir-akhir ini dan ia sekali gus merumitkan urus tadbir di peringkat dasar. Ketiadaan dan ketidakpatuhan syarat sebagai seorang wali merupakan sebab utama berlakunya lambakan permohonan wali hakim di MRSKK ini. Oleh yang demikian, artikel ini bertujuan untuk menganalisis punca ketidakpatuhan syarat kelayakan wali dan cabaran lambakan permohonan menggunakan wali hakim di MRSKK. Falsafah di sebalik kajian ini adalah interpretif dengan pendekatan kajian kes sebagai strategi kajian. Reka bentuk kualitatif diadaptasikan dalam kajian ini dengan gabungan kaedah analisis dokumen dan temu bual separa berstruktur melibatkan para hakim syarie dan pendaftar. Setelah data dokumen dan data temu bual diperoleh, kaedah analisis kandungan dokumen digunakan sekali lagi dalam proses menganalisis data-data ini yang mana hasilnya dikategorikan mengikut kaedah tematik. Dapatan menunjukkan terdapat tiga sebab yang menjadi punca ketidakpatuhan syarat kelayakan wali dan tiga cabaran lambakan permohonan menggunakan wali hakim di MRSKK. Kajian ini mencadangkan supaya aktiviti-aktiviti sosial melibatkan kerohanian umat Islam dapat dipertingkatkan agar faktor-faktor negatif yang menjadi punca gugurnya syarat wali pemohon dikurangkan pada masa akan datang. Oleh itu, kajian lanjutan diperlukan untuk melihat kepada cara dan kaedah penyelesaian terhadap punca dan cabaran yang telah dikenal pasti ini.

Downloads

Published

12/10/2024

How to Cite

Farzana, B, & Mustaqim Roslan, M. (2024). LAMBAKAN PERMOHONAN MENGGUNAKAN WALI HAKIM DALAM URUSAN PERKAHWINAN DAN CABARANNYA KEPADA MAHKAMAH RENDAH SYARIAH KUALA KANGSAR (MRSKK). International Prophetic Conference (SWAN) FPQS USIM, (9th), 124–145. Retrieved from https://swanfpqs.usim.edu.my/index.php/conference/article/view/203

Issue

Section

Articles