SYEIKH MUḤAMMAD KHAṬĪB LANGGIEN DAN KARYANYA DI PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA
Abstract
Ilmu merupakan perkara yang amat penting dan menjadi kefarduan kepada umat Islam. Penyampaian ilmu yang benar ini diusahakan secara berterusan bermula zaman Nabi SAW sehinggalah ke hari ini melalui usaha dakwah dan sistem pendidikan Islam yang dibangunkan. Dalam konteks penulisan berkaitan Pendidikan Islam, pelbagai karya telah dihasilkan oleh para ulama sepanjang zaman, termasuklah juga para ulama Alam Melayu. Antara keunikan karya pendidikan Islam Alam Melayu ialah kepelbagaian dan kandungan yang komprehensif serta karya-karya tersebut juga adalah dihasilkan berteraskan adab dan diselit dalam pelbagai karya disiplin ilmu yang lain. Justeru, kertas kerja ini akan membincangkan tentang salah seorang tokoh ulama abad ke-19M iaitu Syeikh Muḥammad Khaṭīb Langgien dan karya-karya yang beliau hasilkan. Pendedahan tentang ketokohan beliau belum diterokai dengan baik dan beberapa karya beliau belum dikaji dengan sempurna. Aspek utama difokuskan dalam kertas kerja ini ialah melakukan kajian terhadap latarbelakang dan ketokohan Syeikh Muḥammad Khaṭīb Langgien dalam bidang keilmuan. Kajian diteruskan dengan melakukan kajian dan tinjauan terhadap karya-karya beliau yang berada dalam koleksi Perpustakaan Negara Malaysia dan masih berstatus manuskrip. Untuk tujuan ini pendekatan kajian kodikologi digunakan dalam menganalisis naskhah-naskhah yang ditemui. Aspek kodikologi ini merangkumi kewujudan naskhah, pengarang atau penyalin, aspek fizikal dan struktur naskhah, saiz, kertas, tera air dan sebagainya. Dengan tinjauan dan analisis ini diharapkan dapat meneroka ketokohan Syeikh Muḥammad Khaṭīb Langgien dan sejumlah naskhah karya beliau yang wujud di Perpustakaan Negara Malaysia dan membawa kepada banyak kajian lanjutan dalam bidang ini.