INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM TRADISIONAL DI PERAK: ANALISIS PERANAN DALAM PENGAJIAN HADITH
Abstract
Institusi pendidikan Islam tradisional merujuk kepada institusi yang berfungsi sebagai pusat pendidikan agama yang memainkan peranan yang signifikan dalam menyebarkan agama Islam dan membentuk identiti masyarakat Melayu Islam. Sistem pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan berdasarkan kurikulum Islam tradisional yang menjadikan al-Quran dan hadith sebagai sumber utama. Institusi pendidikan Islam tradisional di negeri Perak mempunyai peranan penting dalam mengekalkan dan mengembangkan pengajian hadith. Namun begitu, penekanan terhadap pendidikan moden telah menyebabkan peranan institusi pendidikan Islam tradisional kurang diberi perhatian akademik dan didokumentasikan dengan baik. Justeru, makalah ini bertujuan untuk mengenalpasti peranan institusi pendidikan Islam tradisional di Perak dari segi pendekatan dan metodologi pengajian hadith dalam usaha memelihara keaslian ilmu hadith. Kajian ini berasaskan reka bentuk kualitatif yang menggunakan kaedah dokumentasi dan pemerhatian dalam pengumpulan data. Kemudian data dianalisis menggunakan analisis tekstual dan tematik dalam menentukan peranan institusi pendidikan Islam tradisional di Perak terhadap pengajian hadith. Dapatan kajian menunjukkan institusi pendidikan Islam tradisional di Perak berperanan penting dalam pengajian hadith dengan menekankan pendekatan tradisional. Makalah ini dimulakan dengan silibus hadith yang dimasukkan dalam sistem pengajian. Seterusnya pendekatan pengajian yang digunapakai seperti muqābalah, mutala’ah, muzākarah, muhāfazah dan pemberian ijazah oleh guru.
Pendekatan ini berfungsi sebagai mekanisme utama dalam memastikan keaslian ilmu hadith terus terpelihara serta menjamin kesinambungan tradisi pengajian hadith secara berterusan.