DINAMIKA PENGGUNAAN PERKATAAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Abstract
Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah telah menimbulkan polemik dan kontroversi antara golongan Salafiah, Asya‘irah dan Maturidi. Salafiah mendakwa ia adalah istilah khusus untuk mereka yang melaksanakan sunah nabi SAW. Sebagai pengamal sunah, Salafiah turut mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang diselamatkan berbanding dengan golongan-golongan lain yang dianggap sesat. Demikianlah istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah telah dimonopoli olehgolongan Salafiah. Mereka mula menuduh para ulama Kalam yang terdiri daripada golongan Asya‘irah dan Maturidi hingga menyebabkan perpecahan meluas dalam kalangan umat Islam. Bilakah istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah mula digunakan dan bagaimanakah perubahan maksudnya dari masa ke semasa. Artikel ini bertujuan untuk mengkaji dinamika istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah menerusi penelitian kepustakaan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak pernah direkodkan di dalam al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. Ia muncul sekitar penghujung abad ke-3 bagi tujuan mengklasifikasikan kriteria Ahli Fikah dalam menentang Ahli Bidaah dan diwarisi kemudiannya oleh Ahli Kalam dalam kalangan Asya‘irah dan Maturidi hingga kebangkitan gerakan Salafiah yang mempromosikan pengamalan sunah nabi secara murni.