CABARAN PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA (PPA) DALAM MENGUATKUASAKAN UNDANGUNDANG JENAYAH SYARIAH DI NEGERI PERAK
Abstract
Penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah tertakluk di bawah bidang kuasa Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam negeri-negeri di Malaysia. Penguatkuasaan undangundang jenayah syariah kadangkala menimbulkan tanggapan negatif dan membuka ruang kritikan dalam kalangan masyarakat. Persoalan yang sering timbul ialah sejauh manakah penguatkuasaan jenayah syariah yang terkandung dalam enakmen jenayah syariah berjaya dilaksanakan. Hal ini demikian kerana masih terdapat kes jenayah syariah yang berleluasa namun dilihat seolah-olah tiada tindakan penguatkuasaan yang diambil. Artikel ini bertujuan mengkaji cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh pegawai pengautkuasa agama dalam menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah di Negeri Perak sepertimana yang diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah (Syariah) (Perak) 1992. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif menerusi teknik analisis dokumen dan temubual separa struktur sebagai kaedah pengumpulan data. Temubual dalam kajian ini melibatkan seorang penguatkuasa agama dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak dan seorang pendakwa syarie dari Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak. Dapatan kajian menunjukkan bahawa wujudnya cabaran dalam menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah. Ia dapat dilihat dari aspek kurangnya kemahiran dalam memahami prosedur, kaedah operasi dan siasatan kes jenayah syariah. Isu kekurangan dan pertukaran pegawai penguatkuasa juga merupakan antara halangan dalam meningkatkan kompetensi penguatkuasa. Kajian lanjutan boleh diteruskan dengan mengenalpasti cabaran yang dihadapi oleh Jabatan Pendakwaan Syariah dalam mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah di negeri Perak.