KONSEP AL-I’ĀNAH ‘ALĀ AL-MA’ṢIAH DALAM PERBANKAN ISLAM
Abstract
Perbankan Islam merupakan alternatif kepada perbankan konvensional sejak 40 tahun lalu dan memainkan peranan signifikan dalam membangunkan ekonomi masyarakat khususnya di Malaysia. Amalan, produk dan perkhidmatan perbankan Islam perlu dipastikan bebas daripada perkara yang menyalahi Shara’ di samping memenuhi piawaian dari sudut undang-undang berkanun. Ketidakpatuhan Shari’ah boleh terjadi sekiranya pihak bank terlibat dalam sebarang transaksi haram menurut mu’amalat Islam seperti riba, judi (maysir) dan kesamaran (gharar). Secara prinsip dan ideal, institusi perbankan Islam tidak terlibat secara langsung dalam urus niaga yang jelas haram namun realitinya, wujud keadaan bank Islam terbabit dalam perkara membantu kepada maksiat yang diistilahkan sebagai al-i’ānah ‘alā al-ma’ṣiah. Dalam isu ini, fuqaha’ berselisih pendapat dalam penetapan hukumnya sama ada haram atau harus atas dasar tertentu. Punca perbezaan pandangan tersebut berakar daripada ketidakjelasan memahami konsep, fundamental dan gambaran isu ini. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan untuk
menjelaskan konsep unsur al-i’ānah ‘alā al-ma’ṣiah dalam konteks perbankan Islam. Metodologi kajian adalah berdasarkan kepada kaedah kualitatif menggunakan instrumen kajian kepustakaan merangkumi analisis dokumen sepenuhnya. Data dianalisis berdasarkan kepada kaedah induktif dan deskriptif dengan menerangkan konsep dan gambaran menurut perspektif
Fiqh. Hasil kajian mendapati bahawa konsep al-i’ānah ‘alā al-ma’ṣiah merujuk kepada keadaan berlakunya kerjasama atau usaha saling membantu dalam melakukan dosa dan sebarang bentuk perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Lima rukun al-i’ānah, niat pelaksanaan transaksi tersebut sama ada disengajakan atau tidak (maqsūdah aw ghayr maqsūdah) serta tahap ketersampaian (mubāsharah aw ghayr mubāsharah) kepada perkara haram atau ma’ṣiah perlu dinilai bagi menentukan hukumnya secara pasti. Kajian ini penting agar dapat dijadikan sebagai panduan dan parameter kepada pengguna, badan korporat dan majlis penasihat Shari’ah bank Islam dalam memastikan penawaran produk dan perkhidmatan perbankan Islam adalah patuh Shari’ah.