KAEDAH MERAWAT DEPRESI: ANALISIS ALMAQASID AL-KHAMS
Abstract
Depresi seringkali dikaitkan dengan masalah kesihatan mental. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), depresi atau kemurungan merupakan gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa kesedihan yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga serta cepat marah dan hilang minat dalam aktiviti harian. Kamus Dewan dan Bahasa pula mendefinisikan depresi sebagai ‘keadaan di mana seseorang mengalami rasa kecewa dan putus asa yang diiringi dengan gejala seperti sukar tidur, lembap berfikir dan rasa bersalah yang keterlaluan yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan’. Berdasarkan definisi tersebut, dapatlah dilihat bahawa depresi merupakan suatu gejala yang melibatkan kesihatan mental seseorang individu. Namun marcapada kini, trend peningkatan individu yang menghadapi kemurungan atau depresi ini semakin meningkat dan membimbangkan. Menurut statistik dan tinjauan yang dikeluarkan oleh Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan hampir setengah juta penduduk di Malaysia mengalami depresi. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan menganalisis kaedah merawat depresi mengikut al-maqasid al-khams. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan menggunakan kaedah temu bual separa berstruktur terhadap seorang informan serta kaedah analisis dokumen dengan menjadikan kertas kerja, artikel persidangan, tesis dan jurnal sebagai instrumen bagi mendapatkan data dan hasil dapatan kajian. Selain itu, kaedah analisis kandungan dokumen juga digunakan bagi menganalisis data-data yang diperolehi melalui kaedah analisis tematik. Hasil kajian menjangkakan bahawa setiap kaedah yang digunakan oleh pakar bagi merawat penyakit depresi sentiasa mempunyai hubung kait dengan penjagaan almaqasid al-khams.