DEPRESI ISTERI: STRATEGI KOMUNIKASI SUAMI DALAM RUMAH TANGGA
Abstract
Depresi merujuk kepada keadaan emosi yang tidak stabil. Antara ciri-cirinya adalah kesedihan yang melampau, rasa bersalah, malu dan tidak mementingkan diri sendiri tanpa sebarang sebab yang munasabah. Malah, orang yang kemurungan juga cenderung menunjukkan kehilangan minat dalam kebanyakan aktiviti yang mereka sukai sebelum ini dan cenderung menyendiri dan mengelak berjumpa orang. Dalam konteks rumah tangga, komunikasi antara pasangan seharusnya berjalan dengan sempurna. Jika tidak, potensi untuk terjadinya perbalahan dan berakhir dengan perceraian adalah sangat tinggi. Hal ini tentunya menjadi cabaran kepada suami atau isteri yang mempunyai pasangan yang mengalami depresi. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh suami dalam mencari strategi komunikasi bagi menangani isteri yang mengalami depresi. Untuk mencapai tujuan tersebut, maka kajian secara kualitatif dipilih dan data diperolehi melalui kaedah analisis dokumen dan temu bual separa berstruktur. Seterusnya, data dianalisis menggunakan kaedah analisis tematik. Hasil kajian mendapati bahawa suami perlu memiliki kemahiran komunikasi yang baik, menjadi pendengar yang aktif dan bersifat empati terhadap perasaan isteri dan memahami bahasa badan juga sebahagian daripada strategi yang baik kerana ia memberikan petunjuk penting tentang keadaan emosi isteri.