TINJAUAN ELEMEN KESEJAHTERAAN HIDUP DALAM KOLEKSI HADIS AL-‘ĀFIYAH
Abstract
Nikmat al-‘Āfiyah adalah salah satu nikmat terbesar dalam Islam selepas hidayah dan iman, sebagaimana yang dinyatakan dalam pelbagai hadis sahih riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, dan lain-lain. Hadis-hadis al-‘Āfiyah menekankan kepentingan memohon keselamatan dan kesejahteraan yang menyeluruh dalam aspek rohani, jasmani, dan kehidupan harian. Doa ringkas yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, “Allāhumma innī as’aluka al-‘āfiyah” (Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan), mencerminkan makna kesejahteraan yang komprehensif. Namun, elemen-elemen kesejahteraan dalam hadis al-‘Āfiyah ini tidak diintegrasikan dengan indeks kesejahteraan hidup moden yang lebih menekankan pengukuran material. Justeru, objektif kajian ini adalah untuk (i) meninjau dan mengenal pasti elemen-elemen kesejahteraan hidup dalam hadis al-‘Āfiyah dan syarahnya, (ii) mengkategorikan elemen-elemen kesejahteraan hidup dalam hadis al-‘Āfiyah mengikut tema kesejahteraan yang relevan berdasarkan hasil dapatan kajian. Kajian ini menggunakan metodologi kualitatif dengan pendekatan analisis teks terhadap hadis al-‘Āfiyah dan kitab syarah yang berkaitan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa elemen kesejahteraan dalam hadis ini relevan untuk dijadikan pengukur kesejahteraan hidup manusia secara holistik. Implikasi daripada dapatan ini menunjukkan bahawa konsep al-‘Āfiyah mampu melengkapkan keperluan indeks kesejahteraan hidup moden dengan lebih baik, merangkumi aspek kehidupan dunia dan akhirat.