USUL IJTIHAD IMAM BUKHARI DALAM PENENTUAN HUKUM
Abstract
Imam Bukhari merupakan muhaddis yang terkenal dengan keilmuan yang tinggi dalam bidang hadis. Kitab Sahih Bukhari yang dikarangnya merupakan karya beliau yang paling mashyur dan yang paling sahih bahkan jika dibandingkan dengan kitab-kitab muhaddis yang lain. Kecenderungan keterkaitan beliau dalam bidang hadis terkadang menyebabkan kefaqihan beliau di dalam bidang fiqh kurang dikenali. Walhal beliau juga merupakan seorang yang mempunyai kepakaran yang tinggi di dalam perbahasan ilmu fiqh. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya banyak ulama dari bidang hadis dan fiqh yang mengiktiraf beliau sebagai salah seorang fuqaha yang berkemampuan untuk berijtihad (mujtahid). Namun dalam perbahasan ijtihad, kebiasaannya fokus perbahasan akan mengarah kepada dua asas yang mencorakkan manhaj ijtihad seseorang mujtahid itu seperti dasar atau usul ijtihad yang digunakan serta kaedah yang digunakan dalam mengolah intipati hukum terhadap dasar tersebut. Justeru, kajian ini akan membahaskan tentang apakah usul-usul ijtihad utama yang dipakai oleh Imam Bukhari dalam manhaj ijtihadnya. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan kaedah dokumentasi bagi mengumpul data maklumat dan kemudian analaisis kandungan dibuat secara diskriptif. Hasil kajian mendapati antara usul ijtihad yang digunakan oleh Imam Bukhari dalam manhaj ijtihadnya berdasarkan Sahih Bukhari adalah al-Quran, hadis, athar sahabah dan tabiin serta ra'yu. Kajian lanjutan boleh dilakukan lagi dengan melakukan perbandingan dengan usul ijtihad imam mujtahid yang lain untuk mendapatkan kefahaman yang lebih komprehensif serta kefahaman terhadap diversiti manhaj ijtihad.