KAJIAN TERHADAP AL-ARBA‘ĪN AL-NAWAWIYYAH MELALUI HADITH 40 KARYA MUSTAFA ABDUL RAHMAN
Abstract
Karya Hadith 40 Imam Nawawi atau dikenali sebagai al-Arbaʻīn al-Nawawīyyah sangat masyhur dalam kalangan sarjana sejak dahulu lagi bahkan masih kekal dikenali berbanding karya-karya hadith 40 lain yang bersifat tematik sehingga banyak syarahan ditulis tentang al-Arbaʻīn al-Nawawīyyah. Namun, terdapat penulisan syarahan terhadap al-Arbaʻīn al-Nawawīyyah yang ditulis oleh ulama di Tanah Melayu yang masih belum diberi perhatian sepenuhnya oleh generasi terkemudian seperti Syarah Hadith 40 Imam Nawawi oleh Mustafa Abdul Rahman. Kajian ini dijalankan bertujuan mengetengahkan analisis kritikal terhadap penulisan al-Arbaʻīn al-Nawawīyyah melalui Syarah Hadith 40 Imam Nawawi karya Mustafa Abdul Rahman sekali gus mengenalpasti metode yang digunakan oleh Mustafa Abdul Rahman dalam mensyarahkan al-Arbaʻīn al-Nawawīyyah. Instrumen kajian yang digunakan adalah kualitatif dengan merujuk buku, kajian-kajian lepas dan internet untuk mendapatkan maklumat berkaitan. Kajian mendapati bahawa hadith-hadith dalam al-Arbaʻīn al-Nawawīyyah adalah sahih dan hasan meskipun terdapat pada asalnya beberapa hadith daif dan terdapat 11 metode yang digunakan Mustafa Abdul Rahman dalam karya iaitu Syarah Hadith 40, beliau memulakan tulisan kitab ini dengan menerangkan beberapa bab berkaitan ulum al-hadith.