PENDEKATAN NABAWI DALAM MENANGANI DEPRESI
Abstract
Masalah depresi dan tekanan hidup semakin membimbangkan pada masa kini. Pelbagai kajian telah menemui bahawa kadar depresi dalam kalangan masyarakat adalah meningkat pada setiap tahun. Situasi ini perlu dibendung agar tidak terus melarat dan menjejaskan kesejahteraan individu, masyarakat dan negara. Justeru, kajian ini memilih satu solusi menangani depresi seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti mana yang terkandung dalam hadis no. 6369. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari ini mengandungi gesaan untuk menjauhi perasaan dan tingkah laku yang mengundang depresi. Hadis ini akan dianalisis secara tekstual dan kontekstual bagi mengenal pasti pendekatan holistik yang dibawa oleh Nabi SAW. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menganalisis kandungan hadis berdasarkan kitab syarah yang berautoriti. Analisi kajian dijalankan dalam dua bahagian iaitu analisis linguistik dan analisis interpretasi hadith (fiqh hadis). Hasil kajian menunjukkan bahawa hadis ini menawarkan kerangka yang komprehensif untuk memahami dan menangani beban emosi, psikologi, dan sosial yang boleh membawa kepada depresi. Melalui hadis ini, terdapat lima pendekatan menangani depresi yang telah dikenal pasti, iaitu meliputi aspek psikologi, fizikal, sosial, kewangan, dan spiritual. Pendekatan ini merupakan panduan nabawi untuk setiap individu berlindung kepada Allah dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran, dengan meletakkan seluruh kebergantungan kepada Allah dan kepercayaan bahawa setiap tekanan boleh diatasi. Kajian ini juga berhasrat untuk menunjukkan bahawa pendekatan yang dibawa melalui hadis ini bukan sahaja relevan dalam konteks masyarakt Islam, tetapi boleh diaplikasikan secara universal untuk mengatasi tekanan hidup dan mencapai kesejahteraan yang komprehensif.