MAJLIS ZIKIR: MEKANISME PEMANTAPAN PSIKOSPIRITUAL DI ERA KECERDASAN BUATAN
Abstract
Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) telah membawa perubahan besar dalam kehidupan manusia, terutama dalam pekerjaan dan interaksi sosial, di mana automasi mengubah peranan manusia dan menimbulkan kebimbangan tentang kestabilan ekonomi serta masa depan pekerjaan. Perubahan ini juga menyebabkan tekanan emosi dan perasaan terasing, menjadikan aspek psikospiritual penting dalam kesejahteraan mental (Isbah & Priyanto, 1970). Majlis Zikir, sebagai amalan spiritual kolektif dalam Islam, berpotensi membantu masyarakat mengatasi tekanan dengan memperkukuhkan hubungan dengan Allah dan menyediakan sokongan sosial, seterusnya mengurangkan tekanan serta meningkatkan ketenangan jiwa. Namun, amalan ini juga dikritik sebagai bidaah, menyebabkan kekeliruan dan keraguan dalam kalangan masyarakat mengenai kesahihannya menurut Sunnah. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif untuk menilai peranan Majlis Zikir dalam meningkatkan ketahanan psikospiritual di era AI, dengan menganalisis hadis dan pandangan ulama mengenai amalan zikir berjemaah. Hasil kajian menunjukkan bahawa Majlis Zikir tidak hanya memberikan ketenangan rohani, tetapi juga sokongan sosial yang penting dalam membantu individu mengatasi tekanan akibat perubahan teknologi. Ia dapat dilihat sebagai mekanisme relevan dalam mencapai keseimbangan antara aspek material dan spiritual dalam kehidupan moden.





