Kesilapan Berkaitan Teks dalam Perisian Digital Islam: Kajian Kes Terhadap Perisian al-Maktabah al-Syamilah dan Jawami’ al-Kalim
Abstract
Platform digital telah menjadi fenomena baru dalam kehidupan manusia hari ini. Antara bildang kehidupan yang terawal memanfaatkan platform ini adalah bidang ilmu pengetahuan. Bukan sahaja untuk aktiviti komunikasi, pembentangan dan pembelajaran, malah dalam menyelesaikan beberapa perkara rumit berkaitan sesuatu masalah ilmu. Tidak terkecuali dalam mengambil sisi positif platform ini ialah bidang pengajian Islam. Semenjak dari awal kemunculan era digital, pelbagai platform berkaitan ilmu Islam telah diwujudkan oleh pelbagai pihak. Tujuannya ialah bagi memudahkan umat Islam mendekatkan diri dengan ilmu-ilmu Islam. Platform-platform tersebut sama ada dalam bentuk perisian desktop, laman sesawang atau aplikasi talifon mudah alih. Mesra pengguna dan mempunyai sumber data yang banyak menjadi faktor mengapa platform-platform tersebut lebih menjadi pilihan. Selain untuk memperolehi maklumat, terdapat pelbagai fungsi tambahan lain yang memudahkan dalam menyelesaikan beberapa permasalahan berkaitan ilmu. Antara platform yang sering mendapat perhatian pengguna ialah platform digital berbentuk perisian. Rendah tahap dimanipulasi, data maklumat yang banyak serta mempunyai fungsi tambahan mesra pengguna menjadikan platform tersebut lebih popular. Banyak pihak yang bergantung kepada platform ini terutamanya dalam berinteraksi dengan teks. Namun, terdapat sesetengah pihak yang menggunakannya tidak melakukan sebarang semakan terhadap keabsahan teks-teks yang terdapat dalam perisian-peisian tersebut. Meskipun sesetengah perisian tersebut ada yang sering dinaik taraf sistem pengoperasiannya serta tahap kesilapan teks didakwa telah dikurangkan, namun tiada kajian terkini terhadap perkara tersebut. Bagi mengetahui tahap sebenar keabsahan teks yang terdapat perisian-perisian tersebut, satu kajian kes dilihat perlu dilakukan. Justeru, kajian ini bertujuan mengkaji tahap keabsahan teks yang terdapat dalam perisian-perisian ilmu berkaitan Islam dengan memfokuskan kajian terhadap dua perisian yang sering digunakan oleh umat Islam iaitu perisian al-Maktabah al-Syamilah versi 4.38 dan Jawami al-Kalim versi 4.5. Diharapkan agar dapatan kajian ini dapat mendedahkan ketepatan teks yang terdapat dalam perisisan-perisian tersebut serta dapat membantu para pengguna dalam mengenalpasti kesilapan yang berlaku.