KRITIKAN MUHAMMAD SA‘ID RAMADAN AL-BUTI TERHADAP ORIENTALIS DALAM FIQH AL-SIRAH AL-NABAWIYYAH
Keywords:
kritikan, al-buti, orientalis, syubhahAbstract
Muhammad Sa‘id Ramadan al-Būṭī adalah antara cendekiawan Muslim ulung yang terkenal dengan karya-karya dalam pelbagai disiplin ilmu pengajian Islam. Antara karya beliau yang seringkali mendapat perhatian para ahli akademik ialah Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah. Walaupun al-Buti tidak memuatkan kronologi perjalanan hidup nabi Muhammad sallallahu ‘alaihiwasallam secara terperinci, namun kekuatan utama Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah terletak kepada huraian hikmah dan pengajaran yang dikemukakan oleh al-Buti terhadap kebanyakan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Huraian yang sarat dengan elemen-elemen akidah, fikah dan siasah menjadikan Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah sebuah karya unik yang diminati oleh para pengkaji. Artikel ini bertujuan untuk menganalisis isu-isu yang dibangkitkan oleh orientalis yang mengundang kritikan al-Buti Kaedah yang diaplikasikan dalam artikel ini adalah analisis teks yang memfokuskan kepada Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah di samping karya-karya penulisan beliau yang lain. Hasil kajian merumuskan bahawa al-Buti tidak hanya mengkritik pendirian-pendirian orientalis terhadap isu-isu yang dibangkitkan, bahkan mengemukakan hujah-hujah yang tuntas bagi menjawab syubhah-syubhah yang dibangkitkan oleh orientalis.