BEBERAPA ASPEK EPISTEMOLOGI ISLAM BERDASARKAN MANUSKRIP MELAYU UNTUK PEMBELAJARAN WARGA EMAS: SATU TINJAUAN TERHADAP TEKS MANUSKRIP TERPILIH
Keywords:
epistemologi Islam, manuskrip Melayu , pendidikan sepanjang hayat, warga emas , kajian manuskripAbstract
Menjelang 2030 warga emas di Malaysia menjangkau 15 peratus daripada jumlah penduduk. Indikator ini menunjukkan bahawa Malaysia akan bergelar negara tua dalam tempoh sembilan tahun sahaja lagi. Hal ini tentunya mengundang pelbagai cabaran dan memerlukan persediaan awal dalam pelbagai sektor termasuklah bidang agama dan juga pendidikan. Dengan ini, terdapat pelbagai kajian telah dijalankan berkaitan warga emas, namun belum ditemui lagi kajian berkaitan pembelajaran Islam sepanjang hayat untuk warga emas yang memenuhi struktur pembelajaran Islam, tradisi keilmuan dan epistemologi Islam serta prinsip pembelajaran dewasa (andragogi), sedangkan minat mereka terhadap pembelajaran amat menggalakkan. Hal ini menyebabkan pembelajaran yang mereka ikuti menimbulkan pelbagai masalah dari sudut kandungan, struktur, fokus dan juga kaedah pembelajaran. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan meninjau beberapa aspek epistemologi Islam dalam manuskrip Melayu. Beberapa manuskrip Melayu terpilih akan dianalisis secara tematik untuk melihat aspek epistemologi merangkumi konsep ilmu, galakan menuntut ilmu tanpa mengira usia dan juga pembahagian ilmu. Aspek epistemologi ini amat penting dalam membentuk struktur dan kandungan pembelajaran sepanjang hayat untuk warga emas. Penulisan ini seterusnya berpotensi dikembangkan dengan lebih mendalam dalam menjamin kelestarian beragama warga emas dalam meniti kehidupan mereka dan menjayakan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) serta Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PWTEN).